
Pakatan Harapan menolak cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan.
Pakatan Harapan (PH) membantah cadangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang mendapat tentangan orang ramai ketika kali pertama diperkenalkan sebelum ini.
Pakatan pembangkang berkata pengenalan semula GST akan mengakibatkan harga barang naik secara mendadak dan memberi tekanan kepada orang ramai jika diburukkan lagi dengan masalah rantaian bekalan dan gaji yang tidak stabil.
“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme,” kata PH dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke; dan Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.
Ulasan itu dikeluarkan sebagai menjawab kenyataan kepada wawancara Ismail Sabri dengan akhbar Jepun, Nikkei Asia, di mana beliau bercadang memperkenalkan semula GST untuk mengharungi pergolakan kewangan negara.
GST diperkenalkan Najib sejak 2014 lalu bagaimanapun digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh PH yang memerintah negara selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.
Sejak kebelakangan ini, Najib yang berdepan dengan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk rasuah, malah dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Tinggi, mendesak kerajaan Ismail Sabri memperkenalkan semula GST.
GST ialah cukai penggunaan ataupun ‘consumption tax’ bermaksud lebih tinggi perbelanjaan seseorang, lebih tinggi jumlah bayaran cukai berkenaan.
Mengulas lanjut, PH berkata dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.
“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat.
“Pada ketika persepsi tatakelola serta urustadbir Kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB, tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni The Economist, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir,” kata PH.
Menurut PH Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihanraya yang lalu.