Tak boleh makan durian selepas cucuk vaksin Covid-19?

Tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Penerima vaksin Covid-19 ‘gelisah’ selepas dimaklumkan oleh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bahawa mereka tidak boleh memakan durian selama empat hingga lima hari selepas menerima suntikan dos pertama atau kedua.

Apa yang menyebabkan mereka gelisah adalah kerana harga durian di Utara Semenanjung, khususnya di Kedah dan Perlis sekarang ini jauh lebih rendah daripada biasa.

Di Kubang Pasu, khususnya, ada peniaga yang menjualnya dengan harga jauh lebih murah daripada sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan bergantung kepada jenis durian.

Bagi durian kampung dengan isi gred A, harga sekilogram sekitar RM6 hingga RM10. Kebanyakan durian ini dibawa masuk dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan Batu Kurau, Perak.

Namun bagi durian jenis lain seperti D24 dan Musang King, harga sekilogram bermula dengan RM20 dan ke atas yang masih dianggap murah.

Malah ada sesetengah peniaga yang membeli terus ‘raja buah’ itu daripada pemilik dusun menyebabkan mereka boleh menjualnya dengan harga murah.

“Tuan-tuan dan puan-puan… lepas cucuk jangan makan durian empat hingga lima hari,” kata seorang petugas yang membuat pengumuman melalui pembesar suara kepada penerima vaksin di PPV Polimas di Jitra, Kedah, hari ini.

Pengumuman itu dibuat ketika wartawan Agenda Daily dan beberapa penerima lain diletakkan dalam perhatian 15 minit selepas menerima suntikan dos pertama Pfizer.

Bagaimanapun, sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan memakan durian sama ada sebelum atau selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak memberi kesan sampingan kepada seseorang individu.

“Tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas cucuk (vaksin). Ini tidak betul, yang betulnya kita tidak boleh makan benda (makanan) terlalu manis. Itu yang (boleh membawa) masalah kepada kesihatan,” katanya

Mengulas dakwaan di media sosial mengatakan seorang lelaki meninggal dunia kerana memakan durian selepas menerima vaksin Covid-19, bulan lalu, Dr Noor Azmi sebaliknya beliau menjelaskan kematian lelaki berkenaan adalah disebabkan serangan jantung.

“Sekarang pula musim durian. Orang sudah takut nak makan durian, mana yang sepatutnya cucuk (vaksin) dia takut nak pergi sebab dia nak makan durian.

“Kita nasihat orang ramai supaya semak dahulu, pastikan kebenarannya. Jangan teruja mahu menularkan kepada semua dan perkara kontroversi yang kita sendiri tidak pasti.

“Jangan hantar (sebar), biarlah kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjawabnya dan menjelaskan secara saintifik dan data,” katanya.

POPULAR