Tak boleh eksport ketum seperti dicadangkan MB Kedah: KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

“Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar. (Namun) pada ketika ini memang kita tidak akan benarkan (penjualan daun ketum) untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Sanusi dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Beliau berkata daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran itu, kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan, lapor Bernama.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata KDN kini hanya menunggu untuk sempadan negara dibuka semula, kerana semua persediaan penuh dari segi kawalan keselamatan telah dilakukan lebih awal.

Persediaan awal dilakukan semua agensi terlibat bermula 1 Mac lepas, walaupun sebelum itu tarikh pembukaan sempadan negara belum diumumkan.

“Sebenarnya KDN sudah sangat bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara dari awal lagi, dan sebelum buka (sempadan) pun beberapa kajian perlu dilakukan, jadi tiada masalah bagi kita,” katanya.

Menurutnya, isu aspek kawalan keselamatan di sempadan negara juga tidak sepatutnya timbul kerana kesemua agensi di bawah kementeriannya telah melakukan yang terbaik selama ini.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumunkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini selaras negara memasuki fasa peralihan endemik.

BERITA BERKAIT
POPULAR