
Che'gu Bard menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihak yang hilang kuasa cuba meniup sentimen perkauman dan agama.
Pengerusi Penaja Muafakat Nasional Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihak yang hilang kuasa cuba meniup sentimen perkauman dan agama, menggunakan isu program ‘Jom Ziarah’ rumah ibadat bukan Islam.
Sebaliknya, beliau yang lebih dikenali Che’gu Bard menegaskan bahawa yang cuba menggugat keharmonian ialah pihak di sebelah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sebelum ini, Che’gu Bard yang juga ahli Bersatu Bahagian Port Dickson mengecam program ‘Jom Ziarah Gereja’ bagi penganut bukan Kristian, dengan iklan dalam bahasa Melayu, anjuran Impact Malaysia – inisiatif di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kecaman itu menyebabkan satu laporan polis dibuat Setiausaha Politik Hannah, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal atas tuduhan fitnah. Bagaimanapun, Badrul Hisham kemudian membuat satu laporan balas polis terhadap Hannah.
Dalam satu kenyataan lewat malam tadi (17 Mac 2023), Che’gu Bard turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang memperjuang isu itu sehingga program ‘Jom Ziarah Gereja’ di Church of Our Lady of Lourdes, Klang, hari ini (18 Mac) telah dibatalkan oleh penganjur.
Menurutnya walaupun dibatalkan pihaknya akan tetap memantau dengan dekat program berkenaan.
“Jelas kita berada di pihak yang benar untuk menentang kegiatan salah guna duit kerajaan bagi buat program jenayah.
“Menurut Artikel 11 Perlembagaan Negara jelas nyatakan, Islam Agama Persekutuan, semua agama dibenarkan bebas diamalkan. Tetapi sebarang usaha mempromosikan agama lain dalam kalangan umat Islam ialah jenayah.
“Namun Anwar tetap nak lindungi kegiatan pluralisme dan nepotisme melampau dengan menfitnah kononnya kita sebagai pihak hilang kuasa yang cuba tiup sentimen kaum dan agama.
“Yang salah dan gugat keharmonian ialah Hannah Yeoh namun tidak pelik jika DAP tidak ambil tindakan kerana memang itu aspirasi DAP,” katanya.
Berhubung laporan polis terhadapnya, Che’gu Bard berkata polis belum lagi menghubungi beliau untuk diambil keterangan, tetapi dimaklumkan bahawa semua kes berkaitan kini telah diambil alih oleh Bukit Aman, bukan pada peringkat polis daerah.