Tak benar 40 jururawat meninggal, vaksin Covid-19 beracun

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan tuduhan bahawa 40 jururawatnya meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, KKM juga menolak tuduhan yang dibuat menerusi satu klip audio yang mendakwa vaksin Covid-19 beracun.

“Satu audio berdurasi 2:48 yang menyatakan bahawa ada seramai 40 orang jururawat meninggal dunia dan mendakwa vaksin COVID-19 adalah racun adalah satu dakwaan yang tidak benar sama sekali,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan masyarakat membimbing mereka yang berada di bawah jagaan keluarga masing-masing supaya tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat yang tidak benar itu.

“Adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang membuat kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam.

“Oleh itu, sebelum ianya berlaku adalah lebih baik kita mencegahnya dengan nasihat menasihati antara satu sama lain,” kata kenyataan itu tanpa menjelaskan sama ada laporan polis dibuat untuk siasatan dan tindakan lanjut.

BERITA BERKAIT
POPULAR