
Ketua Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.
Jika laporan berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS) dituduh satu fitnah hanya kerana Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) dari parti DAP, ia adalah tidak adil sama sekali.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tuduhan mengatakan laporan PAC itu satu fitnah tidak wajar sama sekali walhal faktanya tidak ada satu kapal pun yang berjaya disiapkan oleh kontraktor dilantik sehingga sekarang, malah siasatan itu dilakukan secara terperinci.
“Dalam isu LCS, kita minta siasatan yang adil, bawa kepada mahkamah jika ada bukti penyelewengan.
“Tidak timbul lagi nama-nama tokoh tertentu yang didakwa bertanggungjawab. Jika ada pihak lain bangkitkan, jangan dikaitkan dengan PAS kononnya PAS turut sama memftinah.
“Atau adakah kerana Pengerusi PAC ialah MP daripada DAP, maka secara sendirinya ia dianggap fitnah? Sudah tentu ia satu kesimpulan yang sangat tidak adil. Siasatlah dulu,” katanya dalam saut kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan secara logiknya pasti terdapat kelonggaran berhubung perjanjian pembinaan kapal tersebut sehingga ia gagal disiapkan sekarang.
“Secara logiknya, mana mungkin perjanjian berat sebelah mengakibatkan RM6 billion duit rakyat ini dirangka dengan begitu sekali longgar jika tiada pihak membuat keuntungan?” ujarnya lagi.
Ahmad Fadhli juga menyindir pemimpin parti tertentu tanpa menamakan individu tersebut agar mendesak supaya mendesak pemimpin mereka sendiri untuk tampil menjelaskan berhubung skandal LCS tersebut.
“Sebenarnya, dalam isu-isu integriti ini, kelihatan PAS perlu bercakap untuk semua isu.
“Barangkali anda tidak sempat mendesak pemimpin anda sendiri, atau mereka sedang sibuk ‘mengambil mana-mana yang sempat’ sehingga tidak sempat bercakap di Dewan Rakyat? Saya hanya sekadar bertanya,” katanya lagi.
Untuk rekod, isu tersebut didedahkan dalam laporan PAC baru-baru ini.
PAC merupakan salah satu badan semak dan imbang yang ditubuhkan parlimen membabitkan anggota pelbagai parti. Ketika ini ia dipengerusikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.
Ahmad Fadhli adalah seorang daripada 12 anggota PAC. Seorang lagi Ahli Parlimen PAS dalam badan itu ialah Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik).
Sebelum ini PAC mendedahkan sebanyak RM6 bilion sudah dibayar bagi membiayai projek LCS, bagaimanapun tidak ada satu kapal pun yang berjaya disiapkan sehingga hari ini.
Turut dibangkitkan PAC, berhubung RM400 juta yang digunakan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membayar hutang lama dan bukan digunakan untuk tujuan membina LCS.
Projek itu telah diluluskan pada 2011 semasa era pentadbiran Barisan Nasional-UMNO, ketika itu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu pula memegang jawatan Menteri Pertahanan.
Zahid bagaimanapuns sebelum ini menafikan ketika projek itu diluluskan beliau adalah Menteri Pertahanan sebelum ini.
PAC dalam laporannya baru-baru ini mendedahkan projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus.
Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.