Tajuddin kunci mulut selepas dilaporkan ditahan SPRM

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengunci mulut dan enggan mengulas berhubung sebuah laporan portal berbahasa Inggeris yang mendakwa beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung satu siasatan kes salah guna kuasa Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Bekas Pengerusi Prasarana itu ketika dihubungi tidak mahu mengulas berhubung isu tersebut dan memberitahu beliau sibuk dengan urusan di pejabat Pengarah Pilihan Raya UMNO di PWTC.

“Saya ada urusan di pejabat pilihan raya di PWTC,” katanya ringkas selepas dihubungi Agenda Daily.

Terdahulu, portal mesra pembangkang, The Vibes awal hari ini melaporkan Pengarah Pilihan Raya UMNO itu ditahan atas dua tuduhan salah guna kuasa.

Menurut portal itu, Tajuddin ditahan selepas hadir untuk sesi soal siasat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya tengah hari semalam, tetapi dibebaskan dengan jaminan mulut pada sebelah petang.

Portal berkenaan berkata, Tajuddin sepatutnya dituduh di mahkamah semalam, tetapi SPRM masih menunggu arahan lanjut dari Pejabat Peguam Negara.

Agenda Daily tidak dapat memastikan kesahihan berita berkenaan, namun sedang mendapatkan pengesahan daripada SPRM.

Kelmarin Kementerian Kewangan memecat Tajuddin daripada jawatan Pengerusi Prasarana selepas tular tingkah laku tidak bersesuaian beliau dalam mengendalikan sidang media nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara pada Selasa.

Agenda Daily juga melaporkan berhubung kemewahan rumah ibarat ‘istana’ milik Tajuddin yang sedang diubahsuai dan tular dalam media sosial.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR