
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara pada 25 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kompaun dikenakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 seperti disyaratkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.
“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sebelum ini, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan Tajuddin, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, tidak memakai pelitup muka ketika sidang media itu.
Bagaimanapun, berdasarkan beberapa keping gambar yang dirakam pada sidang media Tajuddin itu masih ada beberapa individu yang tidak memakai pelitup muka sebaliknya hanya memakai pelindung muka. Tidak diketahui sama ada polis turut menjalankan siasatan terhadap mereka.
Kementerian Kewangan sebelum ini memecat Tajuddin daripada jawatan Pengerusi Prasarana selepas tular tingkah laku tidak bersesuaian beliau dalam mengendalikan sidang media itu, termasuk tidak memakai pelitup muka.
Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.
Tajuddin dipanggil pihak polis dan disiasat kerana tidak memakai pelitup muka pada sidang media itu sebaliknya hanya memakai pelindung muka.
Media juga melaporkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan campur tangan dalam urusan Prasarana sehingga menimbulkan konflik kepentingan.