
Kritikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat.
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekali lagi menafikan mengeluarkan kata-kata kesat pada sidang Dewan Rakyat ketika kekecohan berhubung perbahasan Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual, pada 20 Julai lalu.
Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak itu menyifatkan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah bertujuan membunuh karier politiknya selain memburukkan imejnya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
“Saya telah menjadi pemimpin dalam UMNO selama 50 tahun, separuh daripada pengundi saya adalah wanita.
“Jika saya jenis orang yang tidak menghormati wanita, saya tidak mungkin memegang jawatan dalam parti sejak 50 tahun lalu,” kata Tajuddin dalam mewajarkan kedudukannya di hadapan Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon, hari ini
“Kesimpulannya, ini semua agenda politik untuk menjatuhkan saya,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Mohd Rashid mengarahkan MP pembangkang Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) diarah meninggalkan Dewan Rakyat kerana mengganggu sidang, berikutan bantahannya susulan keputusan Mohd Rashid terhadap Tajuddin.
Sebelum itu, Mohd Rashid memutuskan Tajuddin dilarang daripada menyertai sidang Dewan Rakyat selama dua hari – bagaimanapun, ia berkuat kuasa pada tarikh kesalahan yang didakwa pada Rabu lalu (20 Julai).
Ini bermakna Tajuddin telah melaksanakan larangan itu, yang berjalan berturut-turut pada 21 Julai. Tajuddin tidak menghadiri sidang 21 Julai, menurut Hansard Parlimen.
Tajuddin didakwa menggunakan kata-kata kesat di Dewan Rakyat dengan mikrofonnya dimatikan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual ketika itu.
Ketika membuat keputusan hari ini (26 Julai), Mohd Rashid berkata kenyataan seksis yang didakwa tidak direkodkan dalam Hansard.
Speaker mengesahkan bahawa Tajuddin telah diarahkan meninggalkan Dewan Rakyat pada 20 Julai dan, telah direkodkan dalam Hansard.
Keputusan Mohd Rashid itu mendapat bantahan oleh Kasthuriraani dan MP pembangkang lain, yang berhujah bahawa sekurang-kurangnya sembilan MP menyaksikan Tajuddin membuat kenyataan itu.
“Adakah MP dibenarkan menggunakan perkataan kesat (di Dewan Rakyat) apabila mikrofon mereka dimatikan?” tanya Teo Nie Ching [PH-Kulai].
“Ia tiada dalam Hansard,” jawab Mohd Rashid.
“Penasihat undang-undang telah [memberi pandangan mereka],” tambahnya.