Tajuddin gembira dipecat, masih tidak berasa bersalah

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menerima pemecatannya sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad dengan gembira dan menyifatkan ia tidak perlu dijadikan isu walaupun menerima kecaman teruk susulan kontroversi semasa sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas LRT kelmarin.

Pengarah Pilihan Raya UMNO itu masih tidak berasa bersalah dengan tindakannya semasa sidang media baru-baru ini, malah memberi jawapan angkuh seakan tidak kisah dengan pemecatan tersebut selepas dihubungi wartawan portal berbahasa Inggeris.

“Nak pecat, pecatlah. Apa isunya?,” itu reaksi awal Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, mengenai pemecatannya sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

“Terima kasihlah, Saya boleh membuat kerja lain,” kata Tajuddin dipetik portal Malay Mail.

Tajuddin berkata sudah menerima makluman berhubung pemecatan tersebut yang mulanya tular dalam media sosial.

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.

Awal hari ini, Tajuddin menerima desakan supaya meletak jawatan susulan kenyataan dan tingkah laku beliau pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas LRT kelmarin.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Menurut satu petisyen yang dilancarkan menerusi Change.org, Tajuddin dituduh sombong, angkuh dan bongkak ketika sesi sidang media sejurus melawat lokasi tragedi.

Tajuddin juga didakwa membuat kenyataan kasar terhadap seorang wartawan asing dari China. Dengan reaksi air muka yang ditunjukkannya ketika memberi jawapan lucu yang menyakitkan terhadap soalan serius yang diajukan oleh wartawan itu.

“Ditambah pula dengan ‘racist remark’ beliau terhadap seorang journalist Cina,” kata petisyen itu, sambil mengatakan Tajuddin juga melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka.

“Oleh itu, kami mendesak agar Tajudin Abdul Rahman, MP Pasir Salak untuk segera meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana. Kementerian Kewangan juga perlu bertindak memecat Tajudin jika dia masih lagi berkeras melepas jawatan tertinggi anak syarikat MOF tersebut,” kata petisyen itu lagi.

Tajuddin juga didakwa tidak menunjukkan profesionalisme dalam kedudukannya sebagai ketua organisasi infrastruktur penting di negara ini dan dalam hal ini menimbulkan rasa malu yang tidak terucapkan kepada negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR