Tajuddin diserang netizen dalam sidang media Prasarana

Pengguna media sosial dalam Facebook menyerang Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika sidang media Prasarana yang disiar secara langsung hari ini kerana masih tidak meletak jawatan walhal semalam menyatakan kesediaan untuk berbuat sedemikian.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu semalam mengatakan perjuangannya dalam UMNO adalah lebih penting daripada jawatan yang dipegang selaku Pengerusi Prasarana.

Tajuddin ketika ditanya wartawan berhubung pendiriannya memberi alasan pemimpin UMNO hanya akan meletak jawatan sehingga Parlimen dibubarkan dan selagi tidak dibubarkan mereka akan kekal menyandang jawatan mereka.

“(Jawatan) sehingga Parlimen dibubarkan dan kita akan masuk kepada pilihan raya, jadi ada tempoh… bila nak dibubarkan? tapi bukan sekarang… berdasarkan keputusan itu bermakna kita akan masih bersama kerajaan kecuali kita nak ditendang daripada kerajaan,” katanya dalam sidang media tersebut.

Tajuddin pagi ini mengadakan lawatan kerja di Saujana Putra Casting Yard dalam program bersama Prasarana.

Tajuddin semalam memberi amaran pemimpin UMNO akan dipecat sekiranya mereka enggan melepaskan jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan GLC.

“Ini masing-masing punya hati perut, tapi kalau parti sudah buat keputusan nanti, sebagai ahli parti apa jawatan pun kena ikutlah kalau tidak maknanya dia tidak bersama dengan parti.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung 2020 semalam menegaskan, parti itu boleh menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional bila-bila masa sekiranya tidak ada indikasi untuk mengadakan pilihanraya dalam waktu terdekat.

POPULAR