
Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini disahkan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia.
Pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dibatalkan, menurut laporan.
Spekulasi tercetus berhubung status lantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu susulan laporan media mendakwa namanya tidak tersenarai baharu penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan berlangsung esok.
Dalam pada itu, Tajuddin dipetik laporan media enggan memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut dan meminta pihak atasan membuat penjelasan berhubung lantikannya.
“Tiada komen. Tanyalah Kementerian Luar ke, tanya Perdana Menteri ke, saya mana tahu,” katanya.
Pada 17 Mei lalu, Tajuddin dilaporkan mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sebelum ini mempertahankan lantikan Tajuddin, ia walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan daripada banyak pihak.
Ismail Sabri juga berkata pelantikan Tajuddin bagi jawatan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Itu (lantikan Tajuddin) sudah diluluskan Kabinet dan diserah pada Agong… dah dapat perkenan (Agong). Sepatutnya dah serah watikah…tapi Agong gering waktu nak serah (watikah)..tapi lepas ni akan diserahkan.
“Jangan kita persoalkan kuasa Agong pula. Agong dah perkenan, (takkan) kita (kerajaan) pula nak tarik balik,” katanya sebelum ini.
Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang diplomat Datuk Zainal Abidin Bakar.
Ketika ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq mengetuai anggota kedutaan di negara berkenaan.
Ahli politik berusia 74 tahun itu sebelum ini dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana berikutan kenyataan yang dianggap tidak sensitif selepas insiden perlanggaran LRT di Kuala Lumpur yang menyebabkan berpuluh-puluh penumpang cedera.