
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.
Polis yang menyiasat kes kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam, menumpukan aspek kecuaian anggota dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan tahanan.
Sehubungan itu, seorang anggota berpangkat sarjan telah ditukarkan serta-merta dan tindakan lanjut ke atasnya bergantung pada hasil siasatan yang diperoleh kelak, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.
Beliau juga berkata kes itu diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan pegawai penyiasat terlibat disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai membiarkan orang tahanan lari dari pengurungan.
“Kertas siasatan mati mengejut turut dibuka selari dengan tujuan kita untuk menentukan punca kematian,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di Shah Alam, hari ini.
Mengulas mengenai kematian tahanan itu, Arjunaidi berkata lelaki berusia 36 tahun tersebut yang direman untuk membantu siasatan kes kecurian tong gas, maut selepas terjun dari tingkat dua bangunan berkenaan pada jam 1.50 tengah hari.
Beliau berkata ketika dalam perjalanan kembali ke lokap selepas keterangannya direkodkan di pejabat pegawai penyiasat tersebut, tahanan itu bertindak menolak pegawai penyiasat berkenaan dan cuba melarikan diri dengan terjun melalui tingkap yang terbuka di tingkat dua.
“Semasa menuruni anak tangga dari tingkat 2 ke tingkat 1, simati telah bertindak menolak Pegawai Penyiasat tersebut seterusnya melarikan diri ke arah tingkap yang terbuka serta memanjat keluar dari tingkap tersebut.
“Tahanan telah jatuh di luar konkrit pemisah di antara tingkat satu dan dua sebelum terjatuh di atas sebuah motosikal di kawasan parkir. Ini menyebabkan keretakan pada bahagian tempurung kepala dan muka tahanan tersebut,” katanya.