
Perbicaraan kes pecah amanah melibatkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan penyalahgunaan dana diberi amaran terakhir supaya tidak berkongsi atau membuat ulasan di media sosial berhubung kes itu selama mana ia sedang dibicarakan di mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid turut memberi peringatan sama kepada pihak pendakwaan.
Beliau memberi kata dua itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi berhubung laporan polis yang difailkan semalam berkaitan catatan Twitter daripada akaun tertuduh mengenai keterangan mahkamah membabitkan bekas Penolong Bendahari Pemuda Bersatu – Armada – Rafiq Hakim Razali, iaitu saksi dalam perbicaraan kes itu.
“Saya masih ingat Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga pernah mengulas perkara sama sebelum ini, dan turut menasihatkan tentang perkara ini. Jadi biarlah ini menjadi amaran terakhir kepada semua pihak untuk tidak membuat ulasan sedemikian lagi,” kata Azhar merujuk kepada hakim lain.
Wan Shaharudin sebelum ini berkata pihak pendakwaan sedang mempertimbangkan untuk mendakwa Syed Saddiq kerana menghina mahkamah berhubung tweet itu.
Tetapi peguam bela Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa siaran media sosial yang menjadi perbalahan itu hanyalah tweet semula daripada orang lain dan beliau telah memberitahu Syed Saddiq untuk mengeluarkannya daripada akaun Twitternya, dan kemudian dipatuhi tertuduh.
“Ia tidak disengajakan dan dia memadamkannya dan saya memberitahunya bahawa ini adalah sesuatu yang dia tidak boleh lakukan. Kami telah mengambil perhatian sepenuhnya mengenai perkara ini dan saya ingin mengulangi bahawa tweet itu bukan miliknya, ia adalah tweet semula,” kata Gobind memetik laporan MalayMail.
Syed Saddiq, yang berada di kandang tertuduh, memohon maaf kerana menyebarkannya ke media sosial.
Mahkamah sepatutnya mendengar hujah berhubung usaha pembelaan untuk mendakwa Rafiq sebagai saksi hari ini.
Gobind berhujah bahawa pihak pendakwaan mengambil keterangan daripada kenyataan lisan dan kemudian meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak ketiga menulis kenyataan Rafiq yang akan dikemukakan di mahkamah.
Gobind menambah bahawa pihak pembelaan tidak mempunyai salinan kenyataan Rafiq dan hanya boleh mendapatkan keterangannya melalui pemeriksaan balas di mahkamah, yang mana kenyataan bercanggah itu telah muncul.
Beliau berhujah bahawa ia adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Bagaimanapun, Wan Shaharuddin membantah sambil menjelaskan bahawa keterangan lisan diperoleh daripada kenyataan Rafiq dan oleh itu boleh diterima oleh mahkamah.
Azhar menangguhkan perbicaraan kepada 18 Julai.