
Presiden Yayasan Pengguna Nasional Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah.
Sebuah syarikat yang didakwa menjalankan skim pelaburan haram diberi tempoh tiga hari untuk memulangkan sebanyak RM90 juta yang dikutip daripada pelanggan sebelum tindakan diambil, kata Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM).
Presiden YPNM Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata yayasan itu menerima 300 aduan daripada pelabur yang mendakwa mereka tidak mendapat pulangan pelaburan mahupun bonus yang dijanjikan kepada mereka.
Beliau menambah bahawa syarikat itu akan diberi masa sehingga Rabu untuk menjawab permintaan pelabur supaya modal mereka dipulangkan sebelum tindakan sivil dan jenayah dimulakan.
“Apabila pelabur bertemu syarikat itu, mereka diberi pelbagai alasan – kadang kala, mangsa tidak dapat menghubungi mereka.
“Pelabur telah hilang kesabaran, jadi mereka datang kepada kami.
“Sekarang kami memberi syarikat itu tiga hari untuk mengemukakan jawapan yang betul – kami mahu mereka membayar balik modal pelabur. Jika mereka gagal (berbuat demikian), kami akan mengambil tindakan sivil dan meminta pelabur membuat laporan polis,” katanya menurut The Star.
Mohd Firdaus berkata skim pelaburan haram itu akan dibawa ke perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beliau berkata syarikat itu, yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah menjanjikan pelabur pulangan 30 peratus hingga 40 peratus ke atas modal mereka, yang akan dilaburkan di luar negara.
Menurutnya semakan menunjukkan syarikat itu tidak mempunyai lesen untuk mengutip wang daripada orang ramai bagi tujuan pelaburan.
“Ia adalah syarikat tempatan dan ia mempunyai beberapa anak syarikat. Mereka mempunyai lebih 4,000 orang melabur dalam program mereka. Terdapat juga pelabur asing dari Arab Saudi, Vietnam, Kemboja dan negara lain.
“Ada antara mereka mula melabur lima tahun lalu. Pada mulanya, mereka mendapat bayaran tetapi terhenti selepas beberapa ketika,” katanya sambil menambah ada yang melabur lebih satu juta ringgit.
Terdahulu, yayasan itu menganjurkan seminar di mana beberapa pelabur ini diberi taklimat tentang apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkan semula wang mereka.
Antara yang dipanggil untuk memberi taklimat kepada pelabur ialah pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman; KPDNHEP, dan peguam Manian K Marappan.
Mohd Firdaus berkata selain promosi dalam talian, syarikat itu mencari pelanggan baharu dengan turun padang, bertemu orang ramai di peringkat akar umbi dan menyasarkan rakan pelabur.