Syarikat dikatakan penderma vaksin dedah penipuan KM Pulau Pinang, Guan Eng

Sidang media Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama Lim Guan Eng.

Syarikat yang didakwa mahu menderma dua juta dos vaksin Sinovac kepada Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang mendedahkan surat permohonan dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ‘palsu’, malah menuduh surat rasmi itu direka sendiri kerajaan negeri tersebut.

Memetik laporan Malay Mail hari ini, syarikat yang didakwa tidak wujud itu berkata sebenarnya mahu menyumbang vaksin berkenaan kepada kerajaan negeri Sabah, bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas.

Portal berita berkenaan yang menghubungi lelaki dinamakan dalam surat itu, Yong Chee Kong yang menjelaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada menghubunginya untuk mendapat sumbangan dan bukan syarikat yang menghubungi kerajaan negeri itu.

Surat daripada syarikat dikatakan kepada Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang.

Beliau menegaskan tawaran menderma vaksin itu bukannya kepada Pulau Pinang tetapi adalah kepada Sabah.

“Saya sudah menghubungi kerajaan Sabah melalui Ketua Menteri tetapi apabila mereka tidak menjawab, Kerajaan Pulau Pinang menghubungi saya dan berkata ketika Sabah menolak tawaran itu, kenapa tidak ditawarkan kepada pembangkang?” katanya dipetik portal berbahasa Inggeris itu.

Yong juga menjelaskan bahawa surat yang mempunyai tandatangannya ditulis oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam bentuk surat tawaran rasmi tetapi tidak meletak alamat syarikat sebaliknya menggunakan alamat kediamannya.

“Saya tidak menulis surat itu, ini yang bos saya di Hong Kong mahukan, ia tidak sepatutnya guna alamat saya,” katanya kepada Malay Mail.

Yong berkata, apa yang dilakukannya tidak ada kaitan dengan syarikat itu kerana beliau bertindak atas kemampuan peribadinya untuk menderma vaksin dan tidak mahu didedahkan identiti.

Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang sebelum ini mendakwa bakal menerima derma dua juta dos vaksin Covid-19 secara percuma bagi diagihkan kepada rakyatnya, bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian kerana kononnya tidak mendapat kelulusan KKM.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin semalam mendedahkan siasatan kementeriannya mendapati syarikat yang memberikan tawaran itu sebenarnya tidak wujud.

“Saya ulangi sekali lagi hari ini. Sumbangan atau tawaran ini palsu. Lihat surat tawaran ini, letterhead syarikat pun tiada. Saya bertanggungjawab terhadap pembelian vaksin di Malaysia, jadi saya tahu dari mana bekalan didapatkan,” katanya semalam.

Khairy berkata, pihaknya melakukan carian dan mendapati syarikat ini tidak wujud di Hong Kong, sementara pengeluar Sinovac juga memaklumkan mereka tidak pernah berurusan dengan syarikat itu.

“Syarikat ini tidak wujud, …jadi apa yang ditunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai tawaran dua juta dos vaksin ini adalah palsu.

“Jadi bagaimana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan surat (scam) palsu untuk menuduh kerajaan Pusat menghalang pemberian vaksin ini? Syarikat ini tidak wujud dan surat itu palsu. Saya akan minta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membuat laporan polis,” kata Khairy lagi.

Pendedahan Khairy mencetuskan kemarahan pembangkang, termasuk Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Manakala, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menunding jari kepada syarikat swasta tersebut supaya membuat penjelasan selepas pendedahan oleh Khairy, seolah-olah cuba melepaskan diri daripada mengambil tanggungjawab berhubung isu penipuan tersebut.

Agenda Daily cuba menghubungi Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun gagal mendapatkan penjelasan lanjut.

POPULAR