
Lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan berbogel ditahan setelah disyaki membunuh isteri dan bayinya di Johor Bahru. - Gambar FB
Lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di Johor Bahru direman tujuh hari bermula hari ini.
Tempoh reman hingga 11 Julai terhadap pencuci kapal berumur 24 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, polis menahan lelaki terbabit di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak – wanita 26 tahun dan anak lelakinya, berusia tiga bulan – ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat dilapor sebagai berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.
Menurutnya polis menerima laporan berhubung kematian dua beranak itu pada jam 12.42 tengah hari.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari. Polis bertindak atas maklumat, sebelum berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.
“Pada jam 2.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek di kawasan Permas Jaya,” katanya.
Turut dirampas ketika tangkapan dibuat ialah sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah.