‘Suruh pindah awal tak nak takut jangkitan Covid-19 di PPS’

Ramai penduduk Seksyen 25, Taman Sri Muda di Shah Alam pada mulanya enggan berpindah selepas hujan dan air mula naik, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Aminuddin Hassim.

Pada sidang media di pusat operasi menyelamat banjir Taman Sri Muda di Shah Alam hari ini, beliau berkata antara sebab yang diberikan ialah bimbang dijangkiti Covid-19 jika berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta keyakinan tidak akan berlaku banjir.

“Apabila anggota kami masuk ke kawasan itu, ada penduduk enggan keluar dan saya dimaklumkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika menyelaraskan pasukan di sini, ada yang tidak mahu keluar kerana berasakan ini hanyalah satu lagi banjir kilat dan apabila sudah terlambat, barulah mereka minta diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata sesetengah penduduk di rumah yang agak tinggi juga enggan keluar sebaliknya hanya meminta dihantar bekalan makanan.

Aminuddin berkata, ada yang memandu ke Taman Sri Muda dari negeri lain untuk memeriksa saudara mara yang terperangkap di kawasan kejiranan itu.

Katanya anggota penyelamat mencatatkan nombor telefon dan memeriksa mereka yang butirannya diberikan oleh saudara mereka, sambil menambah terdapat 4,400 rumah di kawasan itu.

Aminuddin berkata, walaupun cuba memujuk mereka keluar, kebanyakannya enggan dan mahu tinggal di rumah, kerana mereka mempunyai bekalan.

“Antara sebab diberikan ialah mereka bimbang dijangkiti Covid-19 di pusat pemindahan,” katanya.

Sehingga kini katanya, pasukan penyelamat menggunakan 41 bot milik kerajaan bagi membantu menyelamat mangsa, tidak termasuk bangtuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan oerang perseorangan.

Pengarah Jabatan Gerakan Bomba dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohamad yang turut berada pada sidang media itu berkata, rayuan menyelamat mula masuk pada “saat-saat akhir”, selepas paras air meningkat secara tidak dijangka.

“Kedua, kesukaran yang kami hadapi ialah apabila paras air mencecah 1.5 meter.. ia menenggelamkan rumah… jadi apabila kami dimaklumkan (untuk menyelamatkan) rumah ini dan rumah itu, ia menyukarkan kami untuk mengenal pasti nombor dengan tepat,” katanya.

Menurutnya, pasukan penyelamat juga berdepan tugas berat apabila bot penyelamat mereka melanggar kereta yang ditenggelami air dan terbalik.

Beliau juga meminta sukarelawan mendaftar di pusat operasi, supaya pihak berkuasa dapat menjejaki mereka atas sebab keselamatan, sambil menyelamatkan mereka yang terperangkap.

BERITA BERKAIT
POPULAR