Suntikan vaksin Covid-19 untuk petugas media Rabu ini

Penerima vaksin yang telah mendapat suntikan bergambar sebagai tanda sokongan program imunisasi kerajaan. – Gambar Agenda Daily, 15 Mei, 2021.

Suntikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada para pengamal media akan bermula Rabu ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata suntikan akan diberikan kepada pengamal media yang berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan janji temu akan mula diterima bermula hari ini.

“Ada dalam kalangan mereka mula menerima tarikh janji temu vaksin hari ini. Jadi, suntikan itu akan mula dilaksana pada Rabu.

“Jumlah penerima vaksin dalam kalangan petugas media bagaimanapun belum diputuskan lagi dan kami masih menelitinya,” katanya lapor Bernama.

Khairy terdahulu melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bulan lepas, Khairy dilapor berkata lebih 5,000 petugas media menerima tarikh janji temu untuk divaksinasi, mulai Jun.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata operasi hari pertama PPV KLCC hari ini berjalan lancar.

“Daripada segi operasi, saya lihat ia tersusun dan rata-rata penerima vaksin dalam kalangan warga emas yang hadir juga berpuas hati dengan kelancaran operasi PPV di sini.

“Kami juga akan melihat kemungkinan untuk menggandakan jumlah penerima vaksin dari semasa ke semasa di PPV ini, mungkin antara 10,000 hingga 15,000 orangm namun ia bergantung kepada kelancaran program vaksinasi di PPV ini,” katanya.

Ditanya mengenai isu terdapat segelintir warga emas yang dikatakan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca, Khairy berkata pihaknya menyarankan agar golongan itu tidak memilih jenis vaksin.

“Untuk yang tidak hadir pada janji temu ditetapkan, mereka akan mendapat janji temu lain namun perlu diingatkan mereka masih tidak boleh memilih vaksin misalnya mahukan Pfizer. Kami tak boleh menjanjikannya. Jadi nasihat saya, supaya ambillah sebarang jenis vaksin yang ditawarkan,” katanya.

POPULAR