
Penerima vaksin yang telah mendapat suntikan bergambar sebagai tanda sokongan program imunisasi kerajaan. – Gambar Agenda Daily, 15 Mei, 2021.
Seramai 1,122,420 individu sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, peningkatan sebanyak 7,736 orang berbanding pada Selasa, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.
Sementara itu, seramai 2,208,016 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,330,436.
Selangor merupakan negeri yang merekodkan dos lengkap tertinggi iaitu 145,636, diikuti Sarawak (116,399), Perak (105,302), Kuala Lumpur (101,249) dan Johor (97,983), katanya dalam akaun Twitter hari ini.
Mengikut perancangan, fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.
Fasa ketiga akan bermula pada bulan ini hingga Februari 2022, melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran sekurang-kurangnya 13.7 juta orang.
Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, sekitar 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.