Suntikan dos kedua AstraZeneca dipendek kepada 9 minggu

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bersetuju mempercepatkan suntikan dos kedua vaksin AstraZeneca daripada 12 minggu kepada sembilan minggu, susulan ketibaan sejuta dos vaksin itu yang disumbangkan Kerajaan Jepun, hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata penerima vaksin berkenaan pada Mei lalu akan mula mendapat notifikasi untuk dos kedua dalam masa terdekat.

“Berdasarkan mesyuarat JKJAV minggu lepas dan sumbangan vaksin Kerajaan Jepun, kita setuju untuk kurangkan tempoh masa suntikan kedua dos vaksin AZ kepada sembilan minggu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan ketibaan vaksin AstraZeneca sumbangan Kerajaan Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, hari ini.

Beliau berkata sejuta dos vaksin AstraZeneca meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 10.20 pagi tadi menggunakan penerbangan Japan Airlines 723 dan selamat tiba di KLIA.

“Ia bukti hubungan baik sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Ketibaan vaksin ini akan menyumbang kepada kadar pemberian vaksin lebih tinggi sepanjang bulan ini,” katanya.

Beliau berkata vaksin yang diterima akan diagihkan kepada semua pusat pemberian vaksin (PPV) yang menggunakan AstraZeneca di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak secepat mungkin.

Sumbangan itu menjadikan jumlah vaksin AstraZeneca yang telah diperoleh oleh negara setakat 1 Julai adalah sebanyak 1,828,000 dos.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi, turut hadir.

Pada 19 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata pihaknya sedang mengkaji sama ada tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca, boleh dipendekkan daripada 12 minggu kepada enam minggu.

Pakar virologi, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit turut dilapor menyarankan kerajaan memendekkan sela masa antara dua dos vaksin COVID-19 AstraZeneca kepada lapan minggu, bagi memberi perlindungan lebih awal kepada penerima vaksin itu susulan penyebaran varian Delta semakin meluas di negara ini.

Beliau berpandangan, meskipun tempoh 12 minggu membolehkan tahap imunisasi lebih tinggi pada penerima vaksin AstraZeneca, keutamaan ketika ini adalah melindungi golongan berisiko daripada varian Delta yang lebih berbahaya jika dijangkiti.

Khairy turut memaklumkan satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka dikeluarkan esok atau minggu hadapan berkenaan keputusan bagi membenarkan suntikan vaksin Pfizer diberikan kepada remaja.

Mengenai isu 700,000 warga emas yang mendaftar untuk PICK tetapi masih belum menerima suntikan vaksin, Khairy berkata isu berkenaan akan diselesaikan dalam bulan ini kerana masalah kekurangan bekalan vaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR