
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai depan.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata baginda juga menitahkan jabatan itu tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya.
Menurutnya beliau telah dititahkan menghadap Sultan Selangor petang tadi bagi membincangkan acara yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).
Sehubungan itu, baginda juga menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya hadir pada acara tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program berkenaan, katanya.
Shahzihan berkata Sultan Selangor juga tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan berhubung perkara itu dirumuskan secara tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.
“Baginda berpendirian banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.
“Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.
“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengetepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Menurut Shahzihan, Sultan Selangor sendiri pernah hadir di majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
Semalam, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan bahawa festival Bon Odori boleh menjerumuskan umat Islam kepada pelaksanaan amalan syirik jika mereka mengambil bahagian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak mengambil bahagian dalam festival terbabit.
“Umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa memelihara kesucian akidah Islam mereka dengan mengelak daripada terlibat dalam perayaan seperti itu.
“Memandangkan perayaan itu dikaitkan dengan mengingati roh atau roh nenek moyang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara kesucian akidah Islamnya.
“Mengingati roh nenek moyang dengan menari, menyembah roh dan lain-lain adalah tidak digalakkan dalam Islam, malah dikhuatiri akan terjerumus ke dalam dosa syirik kepada Allah,” kata Wan Salim.