Sultan Perak gesa pemimpin jangan ulangi kesilapan terutama perlakuan rasuah

March 4, 2023 · Isu semasa

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan para pemimpin supaya tidak menghampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan mereka yang terdahulu terutama perlakuan rasuah.

Titah baginda, akibat perlakuan rasuah sebelum ini menyebabkan imej negara tercalar dan memberi kesan besar kepada rakyat yang berurusan dengan negara luar.

“Generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah.

“Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya, dan skandal-skandal kewangan yang dilapor berlaku, telah mencontengkan arang di wajah negara; keaibannya ditanggung dengan harga yang mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar. Baca, tafsir, fahami dan hadam suara rakyat yang disampaikan melalui kertas undi,” titah baginda menurut laporan Bernama.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titah baginda rakyat juga mengimpikan pemerintahan adil dan saksama, berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, badan kehakiman berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak, tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

“Demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera, para pemimpin perlu membaca mesej rakyat secara tepat.

“Setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu. Rakyat yang semakin celik huruf, mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan,” titah baginda.

Titah baginda lagi rakyat kini semakin lantang mendedahkan isu rasuah, gigih menolak pemimpin berimej rasuah dan menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga serta pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan sebuah kerajaan yang berani dan tegas menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah, pengagihan kekayaan lebih saksama, peluang pekerjaan lebih terjamin, taraf hidup lebih baik, tadbir urus lebih telus dan pemimpin yang lebih amanah.

Selain itu, titah baginda rakyat mengimpikan perkhidmatan sosial penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan serta kemudahan kesihatan yang mudah diakses.

Begitu juga kemudahan pengangkutan awam yang meringankan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan sosial.

“Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama diketuai Mej Muhammad Fariq Zainul Abidin dan dipimpin Kol Abdul Rahim Hamzah terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping.

Kawalan Kehormatan Utama diiringi pancaragam daripada Brassband KD Pelanduk yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut.

Berita berkaitan
Bubar DUN, MB Perak tak keluar kenyataan lepas menghadap?
October 14, 2022· Isu semasa
Rasuah antara punca rakyat tak dapat perkhidmatan sepatutnya: Sultan Nazrin
September 22, 2022· Isu semasa
Sultan Perak perkenan surau tidak dirobohkan
April 29, 2021· Isu semasa
Popular
Isteri pelakon bawa watak Anwar mohon cerai: Laporan
March 20, 2023
Selama tiga minggu berturut-turut pelabur asing lari dari Malaysia
March 20, 2023
Kempen antirasuah Anwar hanya mahu singkir pembangkang: Tun M
March 20, 2023
Che’gu Bard dakwa Anwar, DAP lindungi kesalahan menteri KBS
March 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Indira kemuka saman 8 negeri tuntut isytihar tukar agama unilateral tak sah
5 jam lalu · Isu semasa
Kos haji bagi B40 kekal RM10,980 dengan RM400 juta peruntukan bantuan
8 jam lalu · Isu semasa
Jangan kata kita nak bunuh TnG, kata Loke
8 jam lalu · Isu semasa
Che’gu Bard dakwa Anwar, DAP lindungi kesalahan menteri KBS
9 jam lalu · Isu semasa
Kempen antirasuah Anwar hanya mahu singkir pembangkang: Tun M
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anak muda pantang ditipu, lebih yakin dengan Perikatan
15 jam lalu
[VIDEO] Sertai Pakatan dakyah ‘cybertrooper’, PAS tawakal dengan Bersatu
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok