Sultan Kelantan larang ceramah bertentangan dasar kerajaan

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melarang sebarang ceramah yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melarang sebarang ceramah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata larangan itu dibuat selepas pihaknya mendapati segelintir pendakwah termasuk Pemegang Tauliah Mengajar MAIK membuat kenyataan yang bertentangan dengan dasar kerajaan berhubung perkara tersebut.

“Perkara ini memberi kesan negatif terhadap langkah kerajaan untuk membendung wabak ini daripada terus merebak dalam masyarakat negeri ini.

“Dalam situasi darurat sekarang, semua pihak perlu menghentikan semua perbezaan dan pendapat dalam perkara ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW – Maka jika kalian melihat perselisihan, berpeganglah pada as-Sawad al-A’dzham (majoriti orang-orang Islam) – dan berdasarkan kaedah fiqh ‘keputusan hakim mengangkat segala khilaf’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata jika mana-mana pegawai masjid bandar/jajahan/mukim, Pemegang Tauliah Mengajar MAIK dan pendakwah didapati melakukan perkara berkenaan, MAIK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

“MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama pegawai masjid bandar/jajahan/mukim, Pemegang Tauliah Mengajar MAIK serta pendakwah agar menyampaikan pengajaran selari dengan dasar kerajaan khususnya berkaitan wabak Covid-19 dan program imunisasi/pemvaksinan Covid-19,” katanya.

POPULAR