Sultan Johor titah rakyat mesti patuh sekatan pergerakan kendiri

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa semua lapisan masyarakat agar komited untuk melaksanakan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self-lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan berterusan kes Covid-19 seluruh negara, Sultan Ibrahim bertitah dengan lebih 7,400 kes dicatatkan hari ini, situasi itu amat membimbangkan serta memerlukan hampir semua pihak duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan.

“Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar dari rumah, tetapi kita juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan kita keluar ke tempat awam mahupun rumah jiran sahaja, akan menyebabkan kita terjangkit atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.

“Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain!. Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Memetik laporan agensi berita Bernama, Sultan Ibrahim bertitah kerajaan juga harus mempertimbangkan sekatan pergerakan penuh jika angka Covid-19 tidak menunjukkan tanda penurunan.

Sultan Johor turut bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan, terutama kakitangan perubatan, yang terpaksa menanggung bebanan besar yang dibawa virus ini.

“Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga telah bertitah dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perbualan telefon dan disembah maklum mengenai situasi terkini Covid-19 pada hari ini.

“Kemunculan varian-varian baharu juga amat menakutkan, yang kini boleh dibawa udara (airborne). Jika jangkitan terus menular, saya risau akan bertambah-tambah lagi varian virus berbahaya ini.

“Dalam keadaan tidak menentu kini juga, saya menyeru kepada pihak yang berkemampuan untuk tampil membantu mereka yang telah ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh,” titah baginda.

Malaysia hari ini merekodkan angka tertinggi harian dengan 7,478 kes baharu dengan 63 kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR