Sultan Johor titah bakal Exco isytihar harta, lalui tapisan polis, SPRM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memastikan bakal calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) membuat pengisytiharan harta.

Baginda juga bertitah semua bakal-bakal Exco itu perlu melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah ketika berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor yang baharu itu, semalam.

Menurut kenyataan disiarkan dalam laman Facebook baginda hari ini, pertemuan itu berlangsung selama hampir sejam dan, baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Dato Hasni, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah baginda sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

“Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Dato’ Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.

BERITA BERKAIT
POPULAR