Sudah persembahkan kepada Agong RUU larang lompat parti: Wan Junaidi

August 28, 2022 · Isu semasa

Kerajaan sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan perkara tersebut dan meminta masa diberikan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menelitinya terlebih dahulu sebelum ia dapat berkuatkuasa serta-merta.

“Tuanku baru balik dari Turkiye (atas lawatan negara), tiga hari lalu, dan baginda juga ada bertanya kepada saya berhubung RUU itu. Kita sudah mempersembahkannya, justeru berilah masa dalam seminggu ini kepada baginda untuk meneliti RUU berkenaan.

“Jika ada perkara yang perlu diperjelaskan, Tuanku akan memanggil Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) untuk memberi penjelasan lanjut mengenai RUU itu,” katanya dipetik laporan BH.

Wan Junaidi memberitahu RUU itu dipersembahkan dua hari lalu.

Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua per tiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat BERSATU.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, proses menguatkuasakan RUU itu membabitkan dua peringkat dengan yang pertama adalah bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong di mana ia telah dilaksanakan.

“Selepas itu, RUU berkenaan akan dikembalikan kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat saya sebelum kita memohon semula kepada Tuanku untuk ia dikuatkuasakan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, beberapa perkampungan tradisi di kawasan Parlimen berkenaan, termasuk Bako dan Tabuan, akan dibangunkan menjadi perkampungan moden.

“Kita merancang untuk membuka kawasan baharu menggunakan konsep perumahan Darul Hana di Petra Jaya untuk membangunkan kampung tradisi di kawasan Parlimen Santubong.

“Kami sedang berbincang dengan Jabatan Tanah dan Survei bagi mendapatkan tapak sesuai untuk tujuan itu,” katanya.

Berita berkaitan
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024· Isu semasa
Anwar patut jawab kejatuhan ringgit bukan orang lain, kata Ahli Parlimen
March 5, 2024· Politik
Dewan Rakyat: Usul gantung Wan Saiful ditarik balik
March 5, 2024· Politik
Popular
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
LCS: Anwar cakap tak serupa bikin
May 29, 2023
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024
Banjir kilat di beberapa kawasan di Balik Pulau
July 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024 · Isu semasa
Sekarang siapa jadi kerajaan, Muhyiddin kritik isu kejatuhan ringgit
February 24, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok