Subsidi upah RM15.67 bilion sudah disalur kerajaan bantu majikan, pekerja

Jumlah subsidi upah yang disalurkan kerajaan adalah sebanyak RM15.67 bilion, ia bagi membantu 2.74 juta pekerja dan 333,533 majikan di seluruh negara, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bantuan bawah Program Subsidi Upah (PSU) itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berjaya meringankan beban semua sektor yang menerima manfaat daripada program ini bermula daripada PSU 1.0 hingga PSU 3.0.

Selepas pengumuman PSU 4.0, jumlah peruntukan untuk program itu dijangka meningkat kepada RM15.82 bilion, katanya lapor Bernama.

Permohonan PSU 4.0 akan dibuka mulai 1 Ogos hingga 30 Oktober, 2021, pembayaran akan dilakukan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari daripada tarikh diluluskan.

“Majikan boleh memohon subsidi sebanyak RM600 sebulan untuk semua pekerja tempatan tanpa had gaji, terhad kepada 500 pekerja bagi satu perusahaan.

“Di bawah PSU 4.0, majikan juga diminta untuk memasukkan maklumat subsidi dalam slip gaji pekerja,” katanya.

Mohammed Azman berkata bagi dua bulan pertama mulai 1 Ogos, 2021, PSU 4.0 akan dibuka kepada majikan di semua sektor ekonomi yang pendapatannya terjejas sekurang-kurangnya 30 peratus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk dua bulan berikutnya, subsidi akan diberikan secara khusus kepada sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.8 bilion untuk PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan 242,000 majikan di seluruh negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR