Subsidi haji 2022 diteruskan, tetapi jumlah belum ditetapkan: Idris

Kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan subsidi kepada jemaah haji menunaikan ibadah itu tahun ini akan terus ditanggung.

Bagaimanapun, jumlah tanggungan itu masih belum diputuskan lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Sehubungan itu beliau akan berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah susulan jangkaan kos tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 setelah Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan caj dan cukai baharu.

“Subsidi akan kita bagi, insya-Allah. Berapa kita bagi nanti kita akan maklum. Saya tak boleh umum lagi, benda itu masih embargo,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan, di Putrajaya, hari ini.

Semalam, TH menjangkakan kos menunaikan haji meningkat kepada 12 peratus tahun ini berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019, mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

TH mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lalu, walaupun kos untuk menunaikan haji terus meningkat setiap tahun.

Mengulas lanjut, Idris berkata selepas perbincangan selesai diadakan dengan TH, beliau akan memberi penerangan kepada jemaah menteri yang akan memutuskan jumlah subsidi yang akan diberikan kepada jemaah haji.

Pada majlis hari ini, Idris mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1.03 juta kepada 12 hospital dan pusat perubatan di Wilayah Persekutuan untuk membantu pesakit.

Penerima ialah Hospital Canselor Tunku Muhriz; Yayasan Institut Jantung Negara; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Putrajaya; Pusat Perubatan Universiti Malaya; Hospital Labuan; Majlis Kanser Negara; Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Tunku Azizah; Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tunku Mizan; Institut Kanser Negara; Hospital Rehabilitasi Cheras; dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

“Sumbangan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu para pesakit yang kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perubatan, pembelian ubatan khas dan bantuan am seperti pembedahan atau rawatan susulan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR