Suami Zeti nafi terima rasuah

Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini menafikan dakwaan rasuah terhadapnya oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs iaitu Tim Leissner pada prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di New York, Amerika Syarikat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kepada media, Tawfiq meluahkan rasa terkejut beliau terhadap dakwaan Leissner itu yang telah dilaporkan oleh media, lapor Bernama.

“Saya tidak kenal Leissner atau Roger Ng Chong Hwa dan tidak pernah bertemu atau berkomunikasi dengan mereka. Saya ingin menegaskan bahawa sepanjang hidup saya, saya tidak pernah menerima rasuah daripada sesiapa.

“Berhubung prosiding yang berjalan di New York ketika ini, saya telah dinasihat agar tidak membuat kenyataan lanjut kerana ia mungkin bersifat subjudis.

“Kami akan mendapatkan nasihat perundangan mengenai langkah seterusnya berhubung kenyataan yang telah dbuat terhadap saya,” katanya.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh peguamnya daripada Tetuan Jagjit Ariff & Co, telah disahkan oleh rakan kongsi firma guaman berkenaan Wan Muhd Ariff Ameer.

Roger Ng telah diekstradisi ke New York pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan Jabatan Kehakiman AS berhubung skandal 1MDB.

Semalam, dilaporkan bahawa keterangan Leissner telah menyebut perihal rasuah membabitkan suami seorang bekas gabenor BNM.

BERITA BERKAIT
POPULAR