‘Suami yang baik, ayah yang penyayang. Perginya di hari mulia’

Siapa yang tidak luluh hatinya, selepas insan tersayang pergi selama-lamanya akibat jangkitan virus Covid-19. Ia pastinya akan menjadi detik yang paling sukar untuk ditempuhi dalam kehidupan.

Apatah lagi untuk menghadapi hari-hari mendatang pastinya tidak akan sama lagi tanpa insan tersayang di sisi. Itulah yang dialami oleh seorang wanita cekal Intan Zainab Ismail Ikram yang kehilangan suami Allahyarham Reza Adnin Roslan pada 28 Mei 2021 yang lalu angkara virus itu.

Berkongsi kisahnya di Facebook, Intan berkata suaminya di hantar ke pusat kuarantin sementara di Darul Iman Training Center (DITC) Kemaman, Terengganu pada 21 Mei lalu menggunakan ambulans setelah dimaklumkan positif virus tersebut.

“Babai sayang, jumpa lagi selepas dua minggu. Sementara tunggu ambulans sampai, dia punya ‘rileks + cool’ tu. Ewa-ewah, saya ‘salute’ pada bang.

“Alhamdulillah bang dah selamat sampai kat Pusat Kuarantin Covid-19 Kuala Terengganu tepat jam 7 petang tadi (21 Mei). Bila dia dah sampai dengan selamat itu, aku da rasa syukur tak tau nak cakap apa. Ku tahan je hati ni jangan banjir masa video call. Mujur semuanya baik-baik belaka,” kongsinya lagi.

Namun pada 28 Mei dia mendapat perkhabaran bahawa suaminya telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

“Berkat hari Jumaat. Mohon semua titipkan doa dan solat hajat buat abam Reza Adnin Roslan. Dr baru ‘tidurkan’dia dan pindah ke wad ICU,” kongsinya.

Pada hari yang sama Intan telah dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia pada jam 2.30 petang di wad berkenaan.

“Innalillahhiwainnalillajirojiun. Dari Dia kita datang. Dari Dia juga kita kembali. Arwah seorang yang sangat baik. Anak yang baik. Suami yang baik dan ayah yang penyayang. Perginya di hari yang mulia dalam keadaan yang cukup mudah,” kongsinya lagi.

Reda dengan pemergian itu, Intan mengimbau kembali kenangan bahawa anak mereka Reefa Izzara seolah-olah telah mengetahui bahawa ayahnya akan pergi.

“Reefa tahu baba positif covid. Lepas tu Reefa tau baba nak meninggal nanti… Luah anak syurga ni petang ini lepas tengok video ini (video Reefa menangis dalam kereta ketika kali terakhir pergi ke DITC). Dia dah dapat rasa dulu rupanya.

“Reefa anak yang kuat sayang. Kita tak sorang dalam dunia ni. Ramai orang sayang kita. Ramai sayang. Allah ambil baba sorang, tapi Allah hantar beribu orang yang baik untuk kita sebagai ganti. Baik kan Allah, Dia tahu kita hilang baba. Tapi ramai orang sayang kat kita… Reefa kena rasa syukur selalu tau sebab semua yang Allah bagi ini ada sebabnya. Boleh? Angguk budak ini tanda paham,” katanya.

Dia berharap anaknya memahami keadaan dan memohon doa orang ramai.

“Ingat tak baba selalu pesan. Kalau kita rindu seseorang. Kita kena baca apa?. Kita kena baca Surah Al-fatihah pastu baca surah Al-Mulk,” katanya.

Jelasnya, ramai kenalan suaminya yang turut mendokannya.

“Ramai yang puji kebaikan awak. Walaupun saya tau awak orang yang baik, tapi saya tak sangka sebaik ini mereka menyantuni awak. Sayang… Mudahnya Allah menjemput awak semalam (Jumaat). Macam tu juga la mudahnya urusan pengkebumian awak malam tadi. Sebagai isteri, terima kasih kerana mendidik saya dan Reefa sebaiknya selama ni. Awak lelaki paling sempurna sayang.

“Suami dan ayah yang terbaik buat kami. Anak yang baik buat mama abah. Semua orang cakap saya kuat dan tenang. Semua ni awak yang ajar saya dulu. Jadi la wanita yang kuat. Saya diuji hilang mak ayah pada usia yang muda. Dan rezeki saya, bila Allah temukan saya dengan lelaki yang hebat seperti awak.Sayang…,” kongsinya lagi.

Al- Fatihah.

BERITA BERKAIT
POPULAR