Suami isteri ditahan disyaki dalang pemalsuan kad pengenalan

Polis Selangor menahan sepasang suami isteri yang disyaki menjadi dalang kepada sindiket pemalsuan kad pengenalan, sijil kelahiran dan geran kenderaan di Petaling Jaya semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri ACP Azman Ali berkata penahanan pasangan warga tempatan berusia 58 tahun itu dilakukan pada 9 malam di sebuah restoran di Taman Dato Harun, Petaling Jaya setelah pemantauan dan pemerhatian dijalankan ke atas mereka, lapor Bernama.

“Susulan penahanan mereka, kami telah menjumpai dan merampas barangan antaranya dua keping kad pengenalan serta masing-masing satu keping kad pemastautin dan sijil kelahiran warganegara yang dipercayai palsu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata soal siasat awal terhadap suspek telah membawa kepada rampasan beberapa barangan di sebuah rumah sekitar kawasan Pantai Dalam, Kuala Lumpur antaranya lapan sijil kelahiran pelbagai nama dan 19 geran kenderaan bercetak pelbagai nombor kenderaan disyaki palsu.

“Pihak kami turut merampas tiga keping geran kenderaan dan 59 keping cukai jalan kenderaan kosong serta satu set komputer riba dan sebuah mesin pencetak,” katanya.

Azman berkata hasil semakan mendapati suspek lelaki memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang melibatkan pemalsuan.

Katanya kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 25 April depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR