Strategi kerajaan lawan Covid-19 berhasil, kata firma Asia Analytica

Sebuah firma antarabangsa, Asia Analytica menyifatkan pendekatan strategi kerajaan dalam melawan Covid-19 sudah menunjukkan hasilnya, terbukti program vaksinasi secara besar-besaran memberikan kesan yang positif.

Berdasarkan analisa dan data terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ramalan firma tersebut adalah selari dengan jumlah kes positif yang semakin menurun di Lembah Klang dan jumlah kemasukkan pesakit di hospital-hospital yang turut mencatatkan penurunan.

“Sebenarnya, apa yang kita lihat sekarang benar-benar dapat diramalkan, berdasarkan tindakan masa lalu dan tempoh masa yang diperlukan untuk membuahkan hasil.

“Penilaian kami dibuat berdasarkan penurunan jumlah individu yang terdedah kepada jangkitan pada masa depan – dengan membandingkan jumlah populasi Lembah Klang dengan individu yang sudah sepenuhnya menerima vaksin dengan individu yang sudah menerima dos pertama dan 14 hari lagi untuk vaksin untuk mencapai keberkesanan maksimum, serta jumlah individu yang diuji positif dan dengan itu mempunyai imuniti semula jadi,” kata firma tersebut.

Penilaian firma tersebut selari dengan data terkini KKM yang mendedahkan majoriti kes baharu yang dicatatkan terdiri daripada kategori 1 dan 2, jumlah kes baharu bagi kategori serius 3,4 dan 5 adalah minima berbanding data sebelum ini.

“Daripada 22,597 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 468 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 22,129 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” kata KKM dalam kenyataan terkini pada 28 Ogos.

Selain itu, kes baharu yang dicatatkan hari ini majoritinya melibatkan pesakit yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Secara keseluruhan, 17,345 kes (76.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” kata KKM lagi.

KKM juga menggesa orang ramai untuk segera mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan serius selain mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius.

“Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan Covid-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5. Status vaksinasi Covid-19 mengikut kategori adalah seperti Rajah 1,” kata KKM lagi.

Jelas pihak Asia Analytica lagi, jumlah kemasukkan pesakit yang lebih rendah juga akan mengurangkan individu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dengan kemasukan ke hospital yang lebih sedikit, jumlah orang yang memerlukan rawatan ICU dan ventilator juga mesti mulai menurun – rata-rata tinggal di hospital adalah antara satu hingga dua minggu – begitu juga dengan jumlah kematian,” kata firma itu lagi.

Untuk rekod, sebanyak 61.1 peratus atau 14,297,962 daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, manakala 81.5 peratus atau 19,090,140 lagi menerima sekurang-kurangnnya satu dos suntikan.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini juga menunjukkan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu hingga semalam, lebih 33.38 juta dos vaksin telah diberikan.

Dari segi populasi keseluruhan Malaysia, sebanyak 58.5 peratus individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 64 peratus lagi melengkapkan suntikan masing-masing.

BERITA BERKAIT
POPULAR