
Pelaburan negara meningkat tahun lepas.
Bank Dunia dalam satu laporan menyebutkan dunia mungkin semakin menghampiri kemelesetan global pada tahun ini, rentetan krisis kewangan berlaku di seluruh dunia.
Bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi.
Kadar faedah pada akhir 2022 mencatatkan kenaikan mendadak yang mana ia tidak pernah disaksikan sejak lebih lima dekad lalu.
Memandangkan ekonomi dunia terus menghadapi ketidaktentuan ini, maka penting untuk setiap individu dan pemilik perniagaan mengambil langkah proaktif serta bersiap siaga bagi menghadapi krisis ekonomi pada tahun ini.
Dalam pada itu, dua pertiga daripada ketua-ketua ahli ekonomi awam dan swasta yang dikaji oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjangkakan kemelesetan global pada 2023.
Kira-kira 18 peratus menganggap kemelesetan dunia ‘amat berkemungkinan’, lebih dua kali ganda berbanding kaji selidik terdahulu yang dibuat pada September 2022.
Hanya satu pertiga daripada responden kaji selidik melihat kemelesetan tidak mungkin berlaku pada tahun ini.
“Inflasi tinggi, pertumbuhan rendah, hutang tinggi dan persekitaran berpecah tinggi mengurangkan insentif bagi pelaburan yang diperlukan untuk merangsang semula pertumbuhan dan menaikkan taraf kehidupan bagi dunia yang paling terdedah,” kata Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi.
Kaji selidik pertumbuhan itu adalah berdasarkan 22 maklum balas diterima daripada sekumpulan ahli ekonomi kanan menerusi agensi antarabangsa termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bank-bank pelaburan, multinasional dan kumpulan insurans semula.
Kaji selidik itu dikeluarkan selepas Bank Dunia minggu lalu menurunkan unjuran pertumbuhan 2023 ke paras yang hampir kepada kemelesetan bagi kebanyakan negara apabila impak kenaikan kadar faedah bank pusat memuncak, perang Russia di Ukraine berterusan dan enjin ekonomi utama dunia mengalami kelembapan.
Definisi yang menyatakan kemelesetan berbeza di seluruh dunia, namun secara umumnya ia termasuk prospek penguncupan ekonomi, berkemungkinan dengan inflasi tinggi dalam senario ‘stagflasi’.
Justeru, langkah pertama wajar dilakukan ialah membuat perancangan kewangan. Kemudian, mempelbagaikan pelaburan dan ia bermaksud tidak hanya menumpukan pelaburan dalam satu portfolio sahaja, sebaliknya harus merentas kelas aset berbeza.
Langkah ini boleh membantu mengurangkan risiko dan pada masa sama menyediakan masa depan kewangan lebih terjamin. Selain itu, rakyat patut melabur dalam aset tidak terikat secara langsung dengan pasaran saham, seperti emas, perak serta mata wang kripto.
Langkah ketiga ialah mewujudkan tabung kecemasan. Tabung ini adalah akaun simpanan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan tidak dijangka atau menyediakan sumber kewangan sekiranya berlaku krisis ekonomi.
Dalam tindakan ini, penting untuk kita menyimpan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan dalam tabung kecemasan untuk memastikan wang mencukupi bagi menampung sebarang kos tidak dijangka.
Langkah keempat ialah mengurangkan hutang. Langkah ini boleh membantu membebaskan aliran tunai dan memberikan lebih fleksibiliti kewangan ketika kegawatan ekonomi.
Justeru, rakyat dinasihatkan tidak berhutang kecuali jika ia benar-benar perlu sama ada untuk perbelanjaan peribadi atau tujuan perniagaan