Strategi, dasar kesihatan PPN tunjukkan kesan positif: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata strategi dan dasar kesihatan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) menunjukkan kesan positif dan manfaatnya bakal dinikmati di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata lebih 13.3 juta individu atau 56.9 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Menurutnya sehingga kini lebih 18.4 juta individu atau 78.9 peratus populasi dewasa pula telah menerima dos pertama masing-masing.

Dasar dan strategi PPN itu diperkenalkan ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengumumkan Labuan menjadi wilayah pertama di negara ini yang beralih ke Fasa Empat PPN selepas 92.4 peratus daripada populasi dewasanya mencapai imuniti kelompok.

Perdana Menteri, turut mengumumkan Negeri Sembilan kini memasuki Fasa Dua PPN dan kedua-duanya berkuat kuasa pada 26 Ogos ini.

Beliau berkata, keputusan untuk membenarkan Labuan beralih ke Fasa Empat dibuat berdasarkan kepada kadar vaksinasi lengkap dua dos bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selain disokong data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian yang menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

Katanya, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di Labuan kini menurun ke angka sifar atau 0 peratus berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya.

“Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan Fasa PPN di Labuan daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat,” katanya.

Dengan peralihan itu, penduduk di Labuan kini boleh menikmati kelonggaran semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus, tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa dan seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

Mereka juga boleh mengadakan majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, ‘retreat’ dan ‘reunion’ dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Katanya, statistik mengikut negeri yang lengkap dua dos ialah Sarawak membabitkan 1,744,895 individu atau 85.4 peratus; Lembah Klang 5,250,427 (85.2 peratus); Negeri Sembilan 588,880 (72.3 peratus); Perlis 113,124 (62.4 peratus); Pulau Pinang 643,909 (47.1 peratus); Melaka 316,899 (46.8 peratus); dan Terengganu 346,163 (42.8 peratus).

“Di Pahang pula, kadar vaksinasi pula berjumlah 502,644 (42.7 peratus), Perak 771,988 (41.4 peratus), Johor 1,052,497 (38.8 peratus), Kedah 589,604 (38.3 peratus), Kelantan 465,245 (37.6 peratus) dan Sabah 866,228 (31.4 peratus),” katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard dan amalkan kawalan kendiri demi menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Beliau menegaskan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan lain juga akan mempertingkatkan kawalan dari segi sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas negeri, sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR