Status MySejahtera masih kuning, Najib tidak dibenar masuk mahkamah

Susulan status MySejahtera yang masih kuning, Datuk Seri Najib Razak hari ini tidak dibenarkan masuk ke mahkamah untuk menghadiri prosiding perbicaraan kesnya.

Bekas Perdana Menteri (PM) itu merungut tidak berpuas hati kononnya bukan sengaja mengelak diri daripada hadir ke prosiding keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas, sebaliknya ia disebabkan status aplikasi MySejahteranya yang masih berwarna kuning kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

“Minggu lepas saya dimarah sebab saya tidak hadir di mahkamah setelah status MySejahtera saya tukar ke warna kuning.

“Pagi ini saya hadir tetapi saya dihalang masuk mahkamah sebab warna MySejahtera saya masih kuning,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Najib membuat perbandingan dengan insiden minggu lepas selepas ditegur hakim selepas tidak hadir ke prosiding pendengaran sehari sebelum keputusan Mahkamah Rayuan, malah juga tidak hadir pada hari keputusan itu diumumkan pada 8 Disember baru-baru ini.

Prosiding Mahkamah Rayuan melibatkan kes Najib minggu lepas terpaksa dijalankan secara dalam talian selepas menjadi kontak kasual kepada pesakit Covid-19.

Selain itu, Mahkamah Rayuan pada 7 Disember dengan tegas juga mengingatkan Najib bahawa mahkamah bukan kedai kopi kerana gagal hadir prosiding atas alasan menjadi kontak rapat Covid-19.

Bukan sahaja Najib, malah peguam bela utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan sebahagian besar pasukan peguam tidak hadir hari ini kerana didakwa menjadi kontak rapat dan kontak kasual.

“Ini mahkamah. Ia bukan sekadar ‘air liur’ dan bersembang,” kata Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan deda penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadapnya tetapi membenarkan ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR