
Dua pelawak terkenal Malaysia, Harith Iskander dan Douglas Lim, menjelaskan bahawa tindakan wanita itu tidak menggambarkan 'stand-up' komedi.
Wanita yang menimbulkan kontroversi semasa persembahannya di sebuah kelab komedi telah dikecam dengan keras kerana melakukan aksi berunsurkan keagamaan yang langsung tidak melucukan malah memualkan.
Dua pelawak terkenal Malaysia, Harith Iskander dan Douglas Lim, menjelaskan bahawa tindakan wanita itu tidak menggambarkan ‘stand-up’ komedi.
Harith berkata, tindakan wanita terbabit yang menanggalkan tudung dan baju kurungnya di atas pentas di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) “menyakitkan untuk ditonton”.
“Lebih penting, tiada apa yang lucu tentang apa yang dia katakan atau lakukan.”
Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit secara tidak disangka-sangka mula menanggalkan tudung dan baju kurungnya, mendedahkan skirt mini dan blaus bertali di bawahnya, sebelum melaungkan kata-kata kepada penonton.
Video Tiktok itu berakhir tanpa menunjukkan aksinya yang lain.
Harith berkata tidak semua ‘stand-up komedi adalah kelakar kepada semua orang, kerana setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza, menyebabkan sesetengahnya berasa tersinggung dengan jenaka tertentu.
Bagaimanapun, katanya beliau menilainya berdasarkan niat pelawak, dan tujuan ‘stand-up’ komedi adalah untuk membuat orang ketawa.
“Niatnya adalah untuk mengejutkan dan menyinggung perasaan. Dan dia telah mengejutkan dan menyinggung.
“Oleh itu, dia tidak membuat ‘standa-up’ komedi,” tambahnya.
Sementara itu, Lim menyifatkan tindakan wanita itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Pelakon itu (kalau boleh saya panggil begitu) berniat untuk mengejutkan, menghina dan marah, dan saya menganggapnya sebagai tindakan sabotaj oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya semalam.
Lim turut tampil menyokong Kelab Komedi Crackhouse di TTDI berkata persembahan kontroversi yang dilihat dalam video tular itu tidak boleh diterima.
“Crackhouse bukanlah tempat melahirkan persembahan biadab seperti itu kerana ia adalah tempat di mana pelawak dan profesional baharu, cuba sedaya upaya untuk menceritakan jenaka bagi membuat orang ketawa.
“Mereka telah beroperasi di sana selama lapan tahun dan saya telah membuat persembahan di sana banyak kali, tetapi saya tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook, kelab komedi itu berkata individu terbabit dan pasangannya diharamkan daripada premis itu sejurus selepas persembahan itu.
“Kelab Komedi Crackhouse mengecam sekeras-kerasnya kandungan video TikTok yang kini viral menunjukkan seorang individu yang didakwa menghina Islam semasa rancangan ‘mikrofon terbuka’ di premis kami,” kata kelab itu dalam kenyataan semalam.
Sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menutup sementara kelab terbabit, wanita itu pula telah ditahan dan direman tiga hari bagi membantu siasatan. Dia kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur.
Polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata siasatan dijalankan oleh bahagian penguatkuasaannya.
Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, mereka yang didapati bersalah menghina atau menyebabkan penghinaan terhadap Islam boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.