Stadium Malawati tempat penilaian bukan penempatan pesakit Covid-19

Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati bukan dijadikan tempat penempatan pesakit positif seperti yang didakwa dalam video yang tular menunjukkan orang ramai beratur untuk masuk ke stadium tersebut.

Menurut penjelasan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Dr Faridah Amin berkata terdapat kekeliruan berhubung penularan video berdurasi seminit itu dalam media sosial, sebaliknya CAC Stadium Malawati itu hanya dijadikan tempat penilaian.

“Kes positif datang untuk penilaian, selepas itu disambung dengan pengawasan di rumah, kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), ataupun kemasukan hospital; mengikut keadaan semasa pesakit ketika di bawah penilaian,” katanya lapor Bernama.

Stadium Malawati telah beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling sejak 8 Feb lepas dengan kapasiti seramai 1,000 sehingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

Ia menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15 berikutan kapasitinya yang boleh menampung lebih ramai pesakit COVID-19; dan selain Stadium Malawati, CAC turut beroperasi di lapan daerah lain yakni di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

BERITA BERKAIT
POPULAR