SRC: Mahkamah tolak permohonan Najib lapang tarikh dengar rayuan

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk melapangkan tarikh pendengaran rayuan berhubung bukti baharu, dalam percubaannya untuk mengetepikan sabitannya dalam kes SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara itu berkata permohonan Najib ditolak menerusi e-mel hari ini.

“Jadi, pendengaran pada tarikh tersebut dikekalkan seperti yang dijadualkan,” katanya seperti dilapor Bernama.

28 Februari 2022 lalu, peguam Najib menulis kepada mahkamah untuk meminta tarikh perbicaraan dilapangkan kerana mereka masih berusaha mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen berkaitan perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, untuk menyediakan hujahan bertulis bagi rayuan keterangan tambahan.

Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya, dengan memutuskan bahawa bekas Presiden UMNO itu gagal secara kumulatif memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman, bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Dalam penghakimannya, beliau menegaskan langkah mendedahkan kerajaan untuk menjamin syarikat korporat yang bermasalah ini bagi mendapatkan pinjaman bukan satu tindakan demi kepentingan negara.

“Itu hanyalah pengurusan kewangan dana awam yang buruk. Ia bukan sesuatu yang boleh dikatakan dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, ia cuma memalukan negara,” katanya.

Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan dke Mahkamah Persekutuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR