SPRM terus siasat Rohana walaupun sedia pulangkan aset AS$10 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd Datuk Rohana Rozhan berhubung AS$10 juta yang didakwa diberikan bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata siasatan kes berkaitan Rohana masih lagi dijalankan.

“Proses penyiasatan masih lagi dijalankan berhubung dengan aset-aset berkenaan. Sehubungan itu, orang ramai diminta jangan membuat spekulasi tentang kes tersebut,” katanya seperti dilapor Bernama yang memetik kenyataan agensi itu hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan Rohana bersetuju secara prinsip untuk memulangkan semula wang dan aset AS$10 juta yang diberikan Leissner.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki juga mengesahkan siasatan terhadap bekas eksekutif kanan itu serta aset yang diberikan kepadanya sedang dijalankan oleh SPRM.

Dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat membabitkan seorang lagi eksekutif Goldman Sachs, Roger NG, Leissner berkata dia memberi Rohana AS$10 juta dan wanita itu membeli rumah di London di Montpelier Street, London.

Leissner, yang merupakan bekas ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara, mendakwa dia mempunyai hubungan selama sedekad dengan Rohana.

Leissner juga mendedahkan dia pernah berdepan ugutan daripada bekas kekasihnya itu untuk mendedahkan peranannya dalam skandal 1MDB jika gagal memberi kerjasama.

“Jika saya tidak membelikannya rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya. Pada masa itu, 2013, saya sangat takut akan perkara itu,” katanya memberi keterangan.

SPRM sebelum ini sudah membekukan aset milik Rohana, sama ada di dalam mahupun di luar negara,

Aset yang dibekukan di luar negara itu bernilai kira-kira AS$10 juta (RM41.8 juta), dipercayai rumah yang dibeli Leissner kepada Rohana di London.

Dalam pada itu, Rohana juga sedang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).

BERITA BERKAIT
POPULAR