
SPRM menjalankan siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi Mara, MARA Corp.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa agensi itu menggugurkan kes dakwaan salah laku oleh tiga pegawai Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata beliau masih belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Peguam Negara berhubung perkara itu.
“Ada keterangan (yang direkodkan) mencukupi untuk kita usulkan supaya suspek didakwa,” katanya selepas menghadiri Anugerah Media SPRM 2021.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan bahawa kes itu akan digugurkan kerana bukti yang tidak mencukupi.
Terdahulu, pada 11 Mei lalu lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasatelah dipanggil untuk memberikan kenyataan mereka di ibu pejabat SPRM.
Mereka adalah antara 17 yang telah dikenal pasti untuk membantu siasatan kes itu.
Antara yang turut dipanggil memberi keterangan ialah empat anggota Lembaga Pengarah MARA Corp, empat pegawai MARA, tiga pegawai bank dan seorang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Dalam serbuan SPRM ke Ibu Pejabat MARA dan MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Februari lalu, SPRM merampas antaranya dokumen terdiri daripada kertas cadangan dan minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia.
Pada 6 Februari, lima individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku itu membuat laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi menafikan penglibatan mereka dalam kes itu.