
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak menerima sebarang aduan untuk menyiasat Lembaga Tabung Haji isu kartel pilih jemaah ke Tanah Suci tahun ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan untuk menyiasat Lembaga Tabung Haji (TH) atas dakwaan salah laku berhubung pemilihan jemaah Islam untuk menunaikan haji, kata ketuanya Tan Sri Azam Baki hari ini.
Beliau menjawab surat tular tanpa nama yang mendakwa “kartel haji” dalam TH yang membuat pilihan ke atas umat Islam untuk mengisi kuota haji tahunan ke Makkah.
“Kami belum dimaklumkan [perkara itu],” kata Azam seperti dilapor The Malaysian Insight hari ini.
‘Surat terbang’ tanpa nama yang tular di media sosial menuduh Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin menyalahgunakan kuasanya untuk membolehkan pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan keluarganya menunaikan haji tahun ini tanpa menjalani prosedur saringan yang betul.
Surat itu juga mendakwa Azman telah menasihati Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman supaya melantik anak saudara Azman sebagai pegawai haji.
Syed Saleh, yang juga ketua jemaah haji Malaysia, menafikan kewujudan kartel haji sebagaimana didakwa.
TH juga mendapat kecaman daripada Persatuan Agensi Pengembaraan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) yang turut mendakwa kartel menjalankan pemilihan haji tempatan setiap tahun, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan umat Islam bahawa mereka mungkin tidak dapat menunaikan Rukun Islam itu.
Presiden Papuh Datuk Seri Razali Mohd Sham mencadangkan TH menggilirkan agensi itu setiap dua tahun.
Semalam, Syed Saleh menolak dakwaan wujud kartel menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH), sambil menegaskan bahawa mana-mana agensi pelancongan boleh memohon menjadi pengelola berlesen di bawah TH.
Menurutnya mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat ditetapkan.
“Sistem ini telah diguna pakai sejak 2000 dan ditambah baik secara berkala. Sistem ini diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini,” katanya menurut Bernama.
Menurut Syed Saleh, syarat pemilihan PJH yang ditetapkan bertujuan memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan haji terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia.
Beliau berkata TH memilih dua PJH baharu tahun ini, iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd bagi menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci.