SPRM tahan Tajuddin, lapor portal

Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan oleh portal berita The Vibes hari ini, telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Tanpa memetik mana-mana sumber, portal berkenaan melaporkan Pengarah Pilihan Raya UMNO itu ditahan atas dua tuduhan salah guna kuasa.

Menurut portal itu, Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan ditahan selepas hadir untuk sesi soal siasat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya tengah hari semalam, tetapi dibebaskan dengan jaminan mulut pada sebelah petang.

Portal berkenaan berkata, Tajuddin sepatutnya dituduh di mahkamah semalam, tetapi SPRM masih menunggu arahan lanjut dari Pejabat Peguam Negara.

“Maklumat lanjut berkaitan tuduhan itu tidak diperoleh tetapi Tajuddin sudah beberapa kali dituduh campur tangan dalam operasi dan urusan perniagaan Prasarana, di mana munculnya konflik kepentingan,” lapor portal itu.

Agenda Daily tidak dapat memastikan kesahihan berita berkenaan, namun sedang mendapatkan pengesahan daripada SPRM.

Kelmarin Kementerian Kewangan memecat Ahli Parlimen Pasir Salak daripada jawatan Pengerusi Prasarana selepas tular tingkah laku tidak bersesuaian beliau dalam mengendalikan sidang media nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara pada Selasa.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Tajuddin juga didakwa membuat kenyataan kasar terhadap seorang wartawan asing dari China. Dengan reaksi air muka yang ditunjukkannya ketika memberi jawapan lucu yang menyakitkan terhadap soalan serius yang diajukan oleh wartawan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR