
Kes rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang arkitek kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3 juta membabitkan projek pembangunan di Pantai Timur.
Suspek berusia dalam lingkungan 40-an dan ditahan susulan penahanan empat individu berhubung kes sama pada Jun lalu.
Pada 16 Jun, empat individu, termasuk seorang pengurus sebuah syarikat berkaitan kerajaan, telah ditangkap dengan kesemuanya dipercayai telah bekerjasama membuat tuntutan palsu bagi projek pembangunan itu.
Suspek ditahan ketika dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam 6 petang Jumaat, menurut laporan The Star hari ini.
Akhbar berkenaan memetik sumber sebagai berkata suspek adalah antara individu yang didakwa terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu bagi projek dengan jumlah keseluruhan RM300 juta.
“Walaupun mengemukakan tuntutan, tiada kerja dilakukan,” kata sumber pada Sabtu (20 Ogos).
Suspek direman empat hari sehingga 23 Ogos ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan dikemukakan SPRM.
Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu.