SPRM siasat hakim Mohd Nazlan bertentangan Perlembagaan: Majlis peguam

Majlis Peguam Malaysia berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Presidennya Karen Cheah Yee Lynn berkata siasatan itu melanggar doktrin pengasingan kuasa dan juga menjejaskan kebebasan institusi kehakiman.

Dalam satu kenyataan beliau berkata:

“Ada mekanisme ditetapkan bagi menangani isu ini dan … sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat sebagai menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman.

“Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyediakan cara khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman ditangani dalam suatu cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman berterusan.

“Tanpa keyakinan yang diperlukan diterapkan kepada insitiusi kehakiman sebagai sebuah institusi, pentadbiran sistem kehakiman tidak akan mendapat penghormatan dan penerimaan yang penting terhadap keberkesanan operasinya dalam pentadbiran kehakiman kita.”

Hakim Mohd Nazlan telah membuat satu laporan polis pada 21 April berhubung artikel berita disiarkan portal Malaysia Today yang mendakwa beliau sedang disiasat berhubung pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata Mohd Nazlan menafikan “tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat” yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan.

Pejabat itu memandang serius tuduhan serta komen sedemikian, dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan untuk mengganggu gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

Majlis Peguam juga berpendapat siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan boleh dilihat sebagai menjejaskan kebebasan mahkamah dan melanggar doktrin pengasingan kuasa dan tidak berperlembagaan, menekankan bahawa sudah ada mekanisme perlembagaan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menangani aduan tentang salah laku kehakiman.

Dalam menyokong hakim yang bebas dan berintegriti, Majlis Peguam juga memberi amaran bahawa Malaysia tidak harus menyerah kepada pendekatan mudah dalam mengendalikan “suara-suara tidak bertanggungjawab” yang menggunakan papan kekunci dengan melakukan serangan dalam talian terhadap kebebasan mahkamah.

Memetik laporan Bernama, Cheah berkata orang ramai tidak jelas mengenai siapa yang membuat laporan itu, atau bila laporan seperti itu dibuat.

“Apa yang jelas kepada Majlis Peguam Malaysia ialah tidak sepatutya terdapat pilih kasih oleh pihak berkuasa dalam menangani isu yang sama – dan berdasarkan kepada asas ini, kami mendesak siasatan yang sama dijalankan oleh pihak polis terhadap laporan yang dibuat Nazlan terhadap dakwaan yang dibangkitkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Raja Petra Kamarudin dalam blognya, Malaysia Today pada 20 April 2022,” katanya.

Cheah berkata Majlis Peguam Malaysia sedar sepenuhnya bahawa institusi kehakiman tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk mengambil langkah bagi melindungi dirinya, dengan melibatkan dirinya dalam perbicaraan oleh media atau mana-mana bentuk kontroversi awam.

“… sebab itulah terdapat satu keperluan untuk Majlis Peguam Malaysia untuk melindungi maruah dan intergriti mahkamah dan institusi kehakiman secara keseluruhannya, memandangkan sifat badan itu yang sentiasa tidak dapat mempertahankan diri daripada kritikan atau tuduhan liar yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

“Kami meminta pendekatan berhati-hati oleh pihak berkuasa kita, dan tidak terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang dibuat oleh jaguh siber,” katanya.

Pada 23 April lepas akhbar ‘The Star’ menyiarkan satu laporan ekskusif yang menyatakan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Terdahulu, seorang peguam Lim Wei Jiet berkata adalah tidak tepat apabila SPRM mencadangkan bahawa kertas siasatan mesti dibuka secara automatik sebaik sahaja suatu laporan dibuat.

“Undang-undang memperuntukkan pihak berkuasa untuk tidak melayan aduan tidak berasas pada tahap awal supaya tidak membuang masa dan tenaga semua pihak, terutama apabila aduan sebegitu mula-mula timbul daripada seorang blogger yang kontroversi dan tidak berkredibiliti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR