
SPRM memanggil seorang anak bekas perdana menteri bagi membantu siasatan berhubung aktiviti perniagaannya, lapor The Star.
Sumber rapat dengan siasatan itu berkata individu tersebut disoal siasat selama beberapa jam.
“Kenyataan telah dirakamkan dan saya percaya akan ada sesi lain,” kata sumber itu.
Dilaporkan nama individu tersebut disenaraikan dalam Panama Papers namun tidak dapat dipastikan jika SPRM meneliti dakwaan yang dibuat dalam dokumen tersebut.
Sementara Utusan Malaysia melaporkan lelaki tersebut dipanggil untuk disoal siasat jam 10 malam di Putrajaya.
Panama Papers merupakan penerbitan hasil siasatan yang mendedahkan aktiviti kewangan luar pesisir golongan elit dunia melibatkan 11.5 juta rekod kewangan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia dari tahun 1970-an hingga 2015.
Sebelum ini media melaporkan antara yang dinamakan adalah anak bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang meringkuk di penjara, Mohd Nazifuddin; anak sulung Tan Sri Muhyiddin Yassin, Fahri serta anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan.