
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat milik seorang ahli perniagaan bergelar ‘datuk seri’ yang disyaki terlibat dalam kartel membekalkan tenaga kerja dari Bangladesh.
MalayMail yang memetik sumber memberitahu serbuan ke atas pejabat ahli perniagaan itu di Selangor dan Kuala Lumpur bermula semalam (5 Julai).
Sumber itu menambah, syarikat milik ahli perniagaan itu bertanggungjawab membangunkan sistem pendaftaran pekerja asing di Malaysia.
“Buat masa ini, belum ada tangkapan. Tidak menafikan sebarang kemungkinan bahawa (SPRM) akan menahan beberapa individu untuk membantu siasatan,” kata sumber itu.
Tindakan SPRM berikutan rungutan yang difailkan berhubung pemilihan 25 syarikat di Bangladesh yang akan membekalkan Malaysia dengan pekerja asing.
Malaysia dan Bangladesh dikatakan telah bersetuju dengan 25 agensi berkenaan daripada lebih 1,000 syarikat yang layak seperti yang disenaraikan oleh Bangladesh.
“Dipercayai kebanyakan daripada 25 syarikat itu dikuasai oleh Datuk Seri tersebut. Ramai pekerja asing yang berminat untuk bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
“Isu ini dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan ahli politik dengan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap aktiviti monopoli oleh suspek terbabit.
“Dengan mengehadkan hanya 25 syarikat, ia menutup peluang syarikat lain berniaga,” kata sumber itu.
Sumber itu dipetik sebagai berkata siasatan SPRM tertumpu kepada dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan dua kementerian.
Sumber itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.