SPRM rampas dokumen kewangan Rohana: Laporan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd (ASTRO), Datuk Rohana Rozhan, untuk dirakam keterangannya hari ini.

Percakapan Rohana direkod di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selama tiga jam berakhir 12 tengah hari tadi, lapor BHOnline yang memetik sumber memberitahu.

Keterangannya diambil susulan pendedahan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner, mengenai pembelian rumah kepada Rohana bernilai AS$10 juta di London, bertujuan menutup mulut dan tidak mendedahkan mengenai kes 1MDB.

“Kita sambung ambil keterangan wanita itu hari ini, bagi menjelaskan beberapa isu.

“Turut dirampas dokumen kewangan bagi membantu siasatan,” kata sumber BH itu.

Khamis lalu, SPRM merakam percakapan Rohana selama lebih lapan jam bermula jam 9 pagi, membabitkan siasatan pemberian rumah berkenaan.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Leissner mengaku telah menggunakan wang yang diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membeli rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuk Rohana, lapor Bloomberg.

Leissner, memberitahu pendakwa raya AS, Drew Rolle ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, AS dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, bahawa Rohana telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

Hubungan mereka kemudian berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee Simmons.

Terdahulu akhbar berkenaan memetik sumber SPRM memaklumkan, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan SPRM kini mengkaji maklumat dan butiran daripada rakaman percakapan Rohana selepas beliau dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan, kelmarin.

“Buat masa ini belum ada individu lain yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu,” katanya.

Rohana dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Berikutan siasatan yang dijalankan, SPRM mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank milik Rohana mengikut Seksyen 44 AMLA 2001.

Perintah pembekuan itu sekali gus melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi membabitkan rumah dan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).

BERITA BERKAIT
POPULAR