
Pertubuhan Jalinan Perpaduan Malaysia meminta SPRM menyiasat kemungkinan pembabitan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dalam kegiatan pengubahan wang haram pada 10 November 2022.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan merampas beberapa dokumen di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam (15 November 2022).
BH memetik sumber sebagai berkata tindakan itu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.
“Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa,” katanya sumber itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Rafizi berkata SPRM datang ke pejabat Invoke untuk kali kedua hari ini.
Dia juga mendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga akan datang ke pejabat Invoke untuk menjalankan siasatan.
Semalam Rafizi dalam ucapannya berkata syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu SPRM dan turut mendakwa kakitangan ditahan selama tujuh jam.
Media sebelum ini melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan.
Ini berikutan, satu laporan dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perisytiharan Rafizi.
Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih RM18.85 juta dan mendakwa tidak memerlukan dana awam untuk menjadikan dirinya kaya.
Beliau berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kehadiran empat pegawai agensi itu di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Rafizi, pada Selasa, hanya siasatan biasa bukannya serbuan.
Katanya, kehadiran pegawai SPRM itu merupakan prosedur biasa siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.
“Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa, hanya empat orang pegawai SPRM hadir untuk menemubual kakitangan dan ambil dokumen berkaitan kewangan sahaja.
“Tiada kakitangan yang ditahan dalam siasatan tersebut dan mereka semuanya dilihat tidak tertekan dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang keberadaan pegawai SPRM di pejabat tersebut,” katanya menurut Awani.