SPRM minta maklumat DOJ isu Leissner beli rumah untuk Rohana

Susulan pendedahan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner, mengenai pembelian rumah kepada bekas kekasihnya Datuk Rohana Rozhan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syrikat (AS).

Maklumat tambahan itu bagi membantu siasatan yang dijalankan SPRM terhadap Rohana yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Leissner mengaku telah menggunakan wang yang diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membeli rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuk Rohana.

Leissner, memberitahu pendakwa raya AS, Drew Rolle ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, AS dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, bahawa Rohana telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

Hubungan mereka kemudian berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee Simmons.

Memetik laporan BHonline, sumber SPRM memaklumkan, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan SPRM kini mengkaji maklumat dan butiran daripada rakaman percakapan Rohana selepas beliau dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan, kelmarin, lapor BH.

“Buat masa ini belum ada individu lain yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu,” katanya.

Rohana dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Berikutan siasatan yang dijalankan, SPRM mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank milik Rohana mengikut Seksyen 44 AMLA 2001.

Perintah pembekuan itu sekali gus melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi membabitkan rumah dan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).

BERITA BERKAIT
POPULAR